AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976 

[AKTA 172]

KAEDAH-KAEDAH KAWALAN PENGAWALAN PERANCANGAN (AM)


Susunan Kaedah-Kaedah


Kaedah


1. Tajuk, pemakaian dan permulaan kuat kuasa

2. Tafsiran

3. Permohonan kebenaran merancang

4. Fi

5. Arahan bertulis

6. Maklumat dan keterangan

7. Penyenggaraan daftar permohonan

8. Notis kepada pemunya tanah berjiran

9. Nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara

10. Kebenaran merancang

11. Permohonan perlanjutan kebenaran merancang

12. Nasihat kepada pembantah

13. Perintah pembatalan dan pengubahsuaian

14. Tuntutan bagi pampasan dan kos

15. Notis-notis di bawah seksyen 27

16. Notis-notis di bawah seksyen 28

17. Notis-notis di bawah seksyen 29

18. Notis rekuisisi

19. Tuntutan berikutan pematuhan notis rekuisisi

20. Notis pembelian


AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976

[AKTA 172]

KAEDAH-KAEDAH KAWALAN PERANCANGAN (AM)


PADA menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh subseksyen 58(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172], Pihak Berkuasa Negeri .................................. membuat kaedah-kaedah yang berikut :


Tajuk, pemakaian dan permulaan kuat kuasa


1. (1) Kaedah-Kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Kawalan Perancangan (Am) ............

(2) Kaedah-Kaedah ini hendaklah dipakai di semua kawasan pihak berkuasa perancang tempatan di dalam Negeri .........................

(3) Kaedah-Kaedah ini hendaklah berkuat kuasa mulai dari tarikh ianya disiarkan di dalam Warta Negeri.


Tafsiran


2. Dalam Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain―


“Akta” ertinya Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 [Akta 172];


“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Perancang Negeri yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Akta;


“Majlis” ertinya Majlis Perancang Fizikal Negara yang ditubuhkan di bawah seksyen 2A Akta; dan


“Pegawai berkuasa” ertinya Pengerusi atau Yang Dipertua pihak berkuasa perancang tempatan atau pegawai yang diberi kuasa secara bertulis oleh pihak berkuasa perancang tempatan untuk menandatangani pelan, peta, kebenaran merancang, perintah atau notis di bawah Kaedah- Kaedah ini.


Permohonan kebenaran merancang


3. (1) Suatu permohonan untuk kebenaran merancang berkenaan dengan sesuatu pemajuan hendaklah dibuat melalui Borang A Jadual Pertama.

(2) Suatu permohonan di bawah subkaedah (1) hendaklah mengandungi apa-apa butir dan disertakan dengan apa-apa dokumen dan pelan yang ditetapkan dalam Jadual Kedua.


Fi


4. (1) Fi untuk memproses permohonan kebenaran merancang, melanjutkan atau melanjutkan lagi kebenaran tersebut dan pindaan kebenaran merancang hendaklah seperti yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga.

(2) Fi untuk memproses permohonan kebenaran merancang bagi pemajuan yang telah dikenakan notis di bawah subseksyen 27(3) boleh dibuat dalam gandaan yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga.


Arahan bertulis


5. (1) Suatu arahan bertulis di bawah subseksyen 21(3) dan 21B(2) yang diberi kepada pemohon untuk meminda pelan yang dikemukakan dengan permohonan kebenaran merancang hendaklah dibuat melalui Borang C Jadual Pertama.


(2) Pihak berkuasa perancang tempatan boleh melanjutkan tempoh meminda pelan di bawah subseksyen 21(4) dan 21B(3) Akta, melalui Borang D Jadual Pertama.


Maklumat dan keterangan


6. (1) Jika suatu permohonan untuk kebenaran merancang melibatkan pendirian sesebuah bangunan, pihak berkuasa perancang tempatan boleh menghendaki pemohon supaya memberikan apa-apa maklumat tambahan yang perlu untuk membolehkan pihak berkuasa perancang tempatan membuat keputusan atas permohonan itu.


(2) Pihak berkuasa perancang tempatan boleh menghendaki seseorang pemohon untuk kebenaran merancang supaya menunjukkan apa-apa keterangan yang munasabah untuk menyokong apa-apa maklumat yang telah diberi dalam atau berhubungan dengan permohonannya.


Penyenggaraan daftar permohonan


7. Pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah menyelenggara suatu Daftar Permohonan dalam mana hendaklah dicatatkan butir-butir permohonan apabila sahaja diterima sesuatu permohonan untuk kebenaran merancang.


Notis kepada pemunya tanah berjiran


8. Bagi kawasan yang tidak ada rancangan tempatan, pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah menyampaikan suatu notis bertulis kepada pemunya tanah berjiran di bawah subseksyen 21(6) Akta melalui Borang A Jadual Keempat.


Nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara


9. Jawatankuasa hendaklah mendapatkan nasihat daripada Majlis berkenaan dengan permohonan di bawah subseksyen 22(2A) melalui Borang E Jadual Pertama.


Kebenaran merancang


10. (1) Kebenaran merancang hendaklah diberi melalui Borang F(1) Jadual Pertama.

(2) Keengganan dalam memberi kebenaran merancang hendaklah dibuat melalui Borang F(2) Jadual Pertama.


Permohonan perlanjutan kebenaran merancang


11. (1) Sebelum sesuatu kebenaran merancang luput, suatu permohonan untuk melanjutkan atau melanjutkan lagi kebenaran merancang di bawah subseksyen 24(3) Akta, hendaklah di buat melalui Borang B Jadual Pertama.

(2) Proses permohonan untuk kebenaran merancang di bawah kaedah 4,5,6,7 dan 10 hendaklah terpakai bagi suatu permohonan melanjutkan atau melanjutkan lagi kebenaran merancang.


Notis kepada pembantah


12. Suatu notis pemakluman kepada pembantah akan pemberian kebenaran merancang kepada pemohon hendaklah dikemukakan melalui Borang B Jadual Keempat.


Perintah pembatalan dan pengubahsuaian


13. (1) Suatu perintah di bawah subseksyen 25(1) yang membatalkan suatu kebenaran merancang atau suatu kelulusan pelan bangunan dibuat melalui Borang C(1) Jadual Keempat.


(2) Suatu perintah di bawah subseksyen 25(1) yang mengubah suai kebenaran merancang atau suatu kelulusan pelan bangunan hendaklah dibuat melalui Borang C(2) Jadual Keempat.


(3) Satu salinan perintah hendaklah disampaikan kepada orang yang kebenaran merancang atau kelulusan pelan bangunan telah diberi selepas Jawatankuasa memberikan pengesahannya.


Tuntutan bagi pampasan dan kos


14 (1) Suatu tuntutan bagi pampasan di bawah subseksyen 25(7) Akta hendaklah dibuat melalui Borang A Jadual Kelima dalam tempoh enam bulan selepas perintah pembatalan kebenaran merancang atau kelulusan pelan bangunan disampaikan.


(2) Suatu tuntutan bagi kos dan pampasan di bawah subseksyen 25(8) Akta hendaklah dibuat melalui Borang B Jadual Kelima dalam tempoh 6 bulan selepas perintah pengubahsuaian kebenaran merancang atau kelulusan pelan bangunan disampaikan.


Notis-notis di bawah seksyen 27


15. (1) Suatu notis di bawah perenggan 27(2)(a) Akta menghendaki supaya dipulihkan tanah kepada keadaan asalnya, dalam hal pemajuan tanpa kebenaran merancang, hendaklah dibuat melalui Borang D Jadual Keempat.


(2) Suatu notis di bawah perenggan 27(2)(b) Akta menghendaki supaya dihentikan pemajuan dan dipulihkan tanah kepada keadaan asalnya, dalam hal pemajuan tanpa kebenaran merancang, hendaklah dibuat melalui Borang E Jadual Keempat.


(3) Suatu notis di bawah subseksyen 27(3) Akta menghendaki supaya memohon kebenaran merancang, dalam hal pemajuan tanpa kebenaran merancang, hendaklah dibuat melalui Borang F Jadual Keempat.


(4) Suatu notis di bawah subseksyen 27(4) Akta menghendaki supaya dihentikan pemajuan, dalam hal pemajuan tanpa kebenaran merancang, hendaklah dibuat melalui Borang G Jadual Keempat.


(5) Suatu notis di bawah subseksyen 27(8) Akta menghendaki supaya dipulihkan tanah kepada keadaan asalnya, selepas kegagalan memohon atau mendapat kebenaran merancang, hendaklah dibuat melalui Borang H Jadual Keempat.


Notis-notis di bawah seksyen 28


16. (1) Suatu notis di bawah perenggan 28(2)(a) Akta menghendaki supaya pemajuan menepati kebenaran merancang dan syarat-syaratnya, atau supaya dipulihkan tanah kepada keadaan asalnya, dalam hal pemajuan yang tidak selaras dengan kebenaran merancang dan syarat-syaratnya, hendaklah masing-masing dibuat melalui Borang I(1) dan I(2) Jadual Keempat.


(2) Suatu notis di bawah perenggan 28(2)(b) Akta menghendaki supaya menghentikan pemajuan dan menepati kebenaran merancang atau syarat-syarat berkenaan, hendaklah masing-masing dibuat melalui Borang J(1) dan J(2) Jadual Keempat.


(3) Suatu notis di bawah subseksyen 28(3) Akta menghendaki supaya suatu permohonan untuk kebenaran merancang yang baru dikemukakan, dalam hal pemajuan yang tidak menepati dengan kebenaran merancang dan syarat-syaratnya, hendaklah dibuat melalui Borang K Jadual Keempat.


(4) Suatu notis di bawah subseksyen 28(4) Akta menghendaki supaya sesuatu pemajuan dihentikan, dalam hal pemajuan yang tidak menepati kebenaran merancang dan syarat-syaratnya, hendaklah dibuat melalui Borang L Jadual Keempat.


(5) Suatu notis di bawah subseksyen 28(8) Akta untuk memastikan pemajuan menepati kebenaran merancang dan syaratsyaratnya, dalam hal permohonan kebenaran merancang yang baru di bawah subseksyen 28(3) Akta, tidak dikemukakan atau ditolak, hendaklah dibuat melalui Borang M Jadual Keempat.


(6) Suatu notis di bawah subseksyen 28(8) Akta untuk memulihkan tanah kepada keadaan asalnya, berkenaan hal di mana permohonan bagi kebenaran merancang yang baru di bawah subseksyen 28(3) Akta, tidak dibuat atau ditolak, hendaklah dibuat melalui Borang N Jadual Keempat.


Notis-notis di bawah seksyen 29


17. (1) Suatu notis di bawah perenggan 29(2)(a) Akta untuk menyelaraskan pemajuan dengan kebenaran merancang atau kelulusan pelan bangunan yang telah diubah suai, hendaklah dibuat melalui Borang O Jadual Keempat.


(2) Suatu notis di bawah perenggan 29(2)(b) Akta menghendaki supaya suatu pemajuan dihentikan dan disesuaikan dengan kebenaran merancang atau kelulusan pelan bangunan yang telah diubah suai, hendaklah dibuat melalui Borang P Jadual Keempat.


(3) Suatu notis di bawah subseksyen 29(3) Akta menghendaki supaya tanah dipulihkan kepada keadaan asalnya, dalam hal pemajuan yang tidak bersesuaian dengan kebenaran merancang atau kelulusan pelan bangunan yang telah diubah suai, hendaklah dibuat melalui Borang Q Jadual Keempat.


Notis rekuisisi


18. (1) Suatu notis rekuisisi di bawah perenggan 30(1)(a) Akta untuk menghentikan penggunaan tanah hendaklah dibuat melalui BorangR Jadual Keempat.


(2) Suatu notis rekuisisi di bawah perenggan 30(1)(b) Akta untuk mengenakan syarat-syarat ke atas penggunaan tanah yang berterusan hendaklah dibuat melalui Borang S Jadual Keempat.


(3) Suatu notis rekuisisi di bawah perenggan 30(1)(c) Akta untuk mengubah atau memindah bangunan atau kerja-kerja di atas tanah hendaklah dibuat melalui Borang T Jadual Keempat.


Tuntutan berikutan pematuhan notis rekuisisi


19. (1) Suatu tuntutan di bawah subseksyen 30(5) Akta bagi perbelanjaan atau kos menjalankan kerja-kerja untuk mematuhi notis rekuisisi hendaklah dibuat melalui Borang C Jadual Kelima dan hendaklah dibuat dalam tempoh satu bulan dari tarikh pihak berkuasa perancang tempatan memperakui bahawa notis rekuisisi telah dipatuhi.


(2) Suatu tuntutan di bawah subseksyen 30(5) Akta bagi kerosakan yang berupa susut nilai tanah yang dialami berikutan dengan pematuhan notis rekuisisi hendaklah dibuat melalui Borang D Jadual Kelima dan hendaklah dibuat dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pihak berkuasa perancang tempatan memperakui bahawa notis rekuisisi telah dipatuhi.


Notis pembelian


20. (1) Tuan punya tanah berdaftar boleh mengemukakan notis pembelian di bawah seksyen 37 Akta kepada pihak berkuasa perancang tempatan melalui Borang U(1) atau U(2) Jadual Keempat.


(2) Penyerahan notis pembelian ke atas pihak berkuasa perancang tempatan akan dikuatkuasakan dengan menghantarnya melalui pos berdaftar kepada pihak berkuasa perancang tempatan.