AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976 (Akta 172)
KAEDAH-KAEDAH KAWALAN PERANCANGAN
(PEMAJUAN TANAH TINGGI DAN LERENG BUKIT)
SUSUNAN KAEDAH-KAEDAH
- Tajuk, pemakaian dan permulaan kuat kuasa
- Tafsiran
- Permohonan untuk kebenaran merancang berkenaan pemajuan di kawasan tanah tinggi dan lereng bukit
- Maklumat dan keterangan
- Layanan terhadap permohonan
AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA 1976 (AKTA 172)
KAEDAH-KAEDAH KAWALAN PERANCANGAN
(PEMAJUAN TANAH TINGGI DAN LERENG BUKIT)
PADA menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen 58(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Pihak Berkuasa Negeri membuat kaedah-kaedah yang berikut :
Tajuk, pemakaian dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Kaedah-Kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Kawalan Perancangan (Pemajuan Tanah Tinggi dan Lereng Bukit) ......
(2) Kaedah-Kaedah ini hendaklah dipakai di semua kawasan pihak berkuasa perancang tempatan di Semenanjung Malaysia.
(3) Kaedah-Kaedah ini mula berkuat kuasa mulai dari tarikh ianya disiarkan di dalam Warta.
(4) Kaedah-Kaedah ini tidak terpakai bagi kawasan SMA.
Tafsiran
2. Dalam Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain―
“lereng bukit” ertinya kawasan yang berkecerunan 15 darjah atau lebih; dan
“tanah tinggi” bermaksud kawasan yang mempunyai ketinggian 300 meter atau lebih dari paras muka laut (p.m.l).
“kawasan sekitar” bermaksud kawasan bersebelahan dan sekitarnya yang dijangka menerima dan memberi kesan secara langsung oleh pembangunan berkenaan.
“SMA” bermaksud kawasan pengurusan khas bagi tiga kawasan seperti dikenal pasti oleh Rancangan Fizikal Negara meliputi Cameron Highlands-Kinta-Lojing, Genting Highlands-Bukit Tinggi-Janda Baik dan Bukit Fraser.
Permohonan untuk kebenaran merancang berkenaan pemajuan di kawasan tanah tinggi atau lereng bukit
3. Kaedah-Kaedah ini hendaklah terpakai bagi permohonan kebenaran merancang bagi pemajuan yang melibatkan kawasan tanah tinggi atau lereng bukit atau kedua-duanya.
Maklumat dan keterangan
4. (1) Suatu permohonan untuk kebenaran merancang di bawah kaedah 3 hendaklah―
(a) mengandungi butir-butir dan disertakan dengan dokumen, pelan dan fi yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah yang berkenaan kawalan perancangan yang terpakai; dan
(b) disertakan dengan analisis kecerunan dan ketinggian.
(2) Apa-apa butir-butir yang disertakan hendaklah menggunakan skala pertukaran darjah dan peratus kecerunan yang ditetapkan dalam Arahan Teknik oleh Jabatan Kerja Raya.
(3) Pihak berkuasa perancang tempatan boleh menghendaki pemohon supaya memberikan apa-apa maklumat tambahan yang perlu untuk mempertimbangkan permohonan itu.
Layanan terhadap permohonan
5. (1) Dalam menguruskan permohonan di bawah kaedah 3, selain daripada perkara-perkara yang telah ditetapkan di bawah subseksyen 22(2) Akta, pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah memberi pertimbangan kepada―
(a) garis panduan perancangan kawasan bukit, tanah tinggi dan kawasan sekitarnya yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia;
(b) garis panduan pemuliharaan dan pembangunan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) dan kawasan sekitarnya yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
Semenanjung Malaysia;
(c) laporan pengawalan hakisan dan laporan kawalan banjir seperti yang dikehendaki dan diperakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran;
(d) laporan geoteknikal dan analisis kestabilan cerun serta penyenggaraan cerun seperti yang dikehendaki dan diperakukan oleh Jabatan Kerja Raya;
(e) laporan penyiasatan geologi seperti yang dikehendaki dan diperakukan oleh Jabatan Mineral dan Geosains; dan
(f) apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu oleh pihak berkuasa perancang tempatan.
(2) Perenggan (a) dan (b) hendaklah juga terpakai bagi permohonan di kawasan berkecerunan 15 darjah atau lebih dan berketinggian kurang daripada 300 meter.
(3) Pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah dalam menguruskan permohonan di bawah perenggan 22(2A)(c) Akta, yang melibatkan puncak atau lereng bukit yang ditetapkan sebagai kawasan alam sekitar yang sensitif oleh suatu rancangan pemajuan; meminta nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara sekiranya pemajuan meliputi—
(a) kawasan berkecerunan 25 darjah dan berketinggian 300 meter di atas paras muka laut; dan
(4) Permohonan di bawah subkaedah (3), hendaklah juga di sertakan dengan—
(a) laporan pemetaan geologi terain seperti yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan pembangunan di kawasan tanah tinggi oleh Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar; dan
(b) apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu oleh jabatan atau agensi teknikal yang bertanggungjawab di atas perkara-perkara yang berkenaan.
(5) Dalam memberikan kebenaran merancang, sebagai tambahan kepada syarat-syarat yang boleh dikenakan di bawah subseksyen 22(5) Akta, pihak berkuasa perancang tempatan bolehlah mengenakan syaratsyarat―
(a) bagi penyediaan zon penampan pembangunan seperti yang ditetapkan di dalam garis panduan berkenaan zon bahaya di kawasan bukit batu kapur oleh Jabatan Mineral dan Geosains;
(b) bagi mengenakan kos kerja pemeliharaan cerun suatu pemajuan sekiranya melibatkan lot tanah berjiran atau bersempadanan yang masih belum memulakan pemajuan yang perlu ditanggung oleh pemohon;
(c) jika pemajuan melibatkan pembinaan jalan, hendaklah mengikut kesesuaian cerun dan had jarak mendaki seperti yang ditetapkan dalam Arahan Teknik oleh Jabatan Kerja
Raya;
(d) jika pemajuan melibatkan kerja tanah, pembinaan dan penyenggaraan kolam perangkap mendap hendaklah mematuhi had pelepasan pepejal terampai tidak melebihi 100 mg/l seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran; dan
(e) jika pemajuan melibatkan kerja tanah di kawasan pertanian, hendaklah menghadkan penggunaan jentera berat seperti yang ditetapkan dalam garis panduan berkenaan
pembangunan di kawasan tanah tinggi oleh Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar.